Tuesday, 3 April 2012

BAHASA TIDAK SOPAN






SITUASI 22 
Alhamdulillah sekali lagi dapat tangan ini menaip dalam laman ini untuk santapan rakan taulan.Tajuk pada kali ini adalah berkaitan dengan bahasa tidak sopan dalam kalangan masyarakat kita terutama golongan remaja. Penggunaan bahasa yang suka membangga diri, memaki hamun, memfitnah, memprovokasi, mengejek, melecehkan orang lain dan sebagainya kini mengambil tempat yang akhirnya menggambarkan citra dan peribadi bangsa yang negatif. Lebih malang ialah kini indahnya sesebuah bangsa bukan lagi kerana bahasa yang digunakan.
Sedang suatu ketika dulu bangsa Melayu terkenal dengan ciri-ciri ketimuran yang sarat teguh dengan nilai-nilai mulia dan budi pekerti tinggi. Bahasa diangkat sebagai medium yang berperanan menggabung jalin segala aspek pemikiran, kesopanan, keintelektualan dengan budaya masyarakat Melayu ketika itu.
Gambaran yang dilakukan secara realistik oleh tokoh-tokoh bahasa dan kesusasteraan Melayu seperti Zainal Abidin Ahmad (Za’ba), Hamzah Fansuri, Nuruddin Al-Raniri, Syeikh ’Abd Al-Samad dan sebagainya melalui karya-karya mereka ini dengan gahnya mengaspirasi segala semangat, keadaan masyarakat, cara hidup, nilai budaya, cita rasa dan pemikiran masyarakat Melayu kepada dunia luar.
Bangsa Melayu khususnya sedang berhadapan dengan satu fasa kebejatan budi yang memperlihatkan betapa mudahnya keperibadian bangsa dipengaruhi oleh unsur-unsur luar. Keadaan ini berlaku sealiran pula dengan berkembang dan memuncaknya nilai pembangunan material, teknologi yang bercirikan budaya luar.
Secara tidak langsung keadaan ini telah menghakis sedikit demi sedikit nilai-nilai berbudi dan santun yang selama ini menjadi pasak kemegahan budaya dan bangsa. Krisis ini berlaku tidak mengira peringkat umur, status dan pangkat sama ada golongan kanak-kanak, remaja, dewasa bahkan sektor awam yang seharusnya menjunjung etika berbahasa dalam memberi khidmat kepada masyarakat semakin kurang ditekankan.
Apa yang berlaku ialah masyarakat sekadar menyampaikan idea yang ada dalam fikiran sehingga lupa mematuhi norma budaya dan tatacara komunikasi verbal yang baik dan sopan. Kesannya, segala nilai negatif seperti sombong, angkuh, bersikap tidak acuh, ego, tidak beradat bahkan kurang ajar berlaku yang boleh membantutkan kelancaran komunikasi.
Begitu juga halnya dengan bahasa yang digunakan oleh media khususnya saluran radio masih menampakkan kegagalan untuk mempraktikkan unsur kesopanan berbahasa dengan baik. Menerusi agenda mempromosikan produk khususnya, media masih gagal mengenal pasti penggunaan kata ganti diri yang tepat. Terdapat iklan mempromosi pakaian yang menggunakan kata ganti diri ‘kamu’ bagi merujuk kepada pendengar sedangkan sudah sedia jelas bahawa pendengar dan media ada jurang yang harus diambil kira, iaitu dari aspek usia, taraf pendidikan dan status gelaran yang secara harfiahnya tidak mempunyai hubungan yang akrab dengan media.
Meskipun kesan kesantunan berbeza-beza mengikut jenis sapaan yang digunakan namun layakkah jika sebahagian pendengar yang terdiri daripada warga emas di‘kamu-kamu’kan sahaja? Kepelbagaian sistem sapaan dalam bahasa Melayu dengan mudah telah menggariskan kepelbagaian fungsi bentuk sapaan yang lebih sesuai dan sopan untuk digunakan bagi menggantikan bentuk sapaan ‘kamu’, iaitu ‘anda’.
Dalam konteks komunikasi verbal dua hala, berlaku juga trend pengucapan yang tanpa disedari sebenarnya boleh menyinggung hati dan perasaan orang lain terutamanya apabila berlaku antara dua peringkat umur yang berbeza. Tentu sekali kita biasa mendengar ungkapan ‘tau tak pe’ yang kini dilihat menjadi kebiasaan pengucapan golongan remaja. Lebih mengecewakan ialah mereka langsung tidak mengetahui negatifnya ungkapan tersebut walaupun bertujuan untuk mengiyakan atau bersetuju dengan pendapat yang dikemukakan. Tingkah laku komunikasi tersebut sebenarnya secara tidak langsung menggambarkan sikap sombong, berlagak, membangga diri serta memperlihatkan penutur lebih tahu akan perkara yang sedang dibincangkan walaupun melibatkan dua peringkat umur yang berbeza.
Untuk menggantikan ungkapan tersebut, difikirkan wajar menggunakan ungkapan persetujuan yang menunjukkan kerendahan diri, berbudi dan hormat seperti ‘ye, betul tu’, ‘saya setuju’ dan sebagainya. Kelemahan dan ketidakarifan ini akhirnya akan memperlihatkan kurang pekanya masyarakat kita untuk menghalusi nilai kesopanan berbahasa dengan baik.
Selain untuk menggambarkan sahsiah bangsa, kesantunan berbahasa bertujuan untuk melancarkan komunikasi sosial. Akan tetapi, berlakunya krisis kesantunan berbahasa ini sebenarnya tiada lain akibat pengaruh persekitaran, lakonan masyarakat kita sendiri selain pengaruh media yang dilihat amat mudah mempengaruhi perilaku berbahasa anak-anak muda.
Bahasa orang Melayu terus menerus menjadi layu. Tidak kira sama ada dituturkan kepada sesama rakan sebaya atau yang lebih berusia, penggunaan kata ganti nama diri yang sopan dan lebih manis seperti awak, anda, saudara, encik, tuan dan sebagainya telah digantikan dengan panggilan ringkas seperti ‘lu’, ‘gua’, ‘bro’, ‘beb’ dan banyak lagi. Keadaan ini seolah-olah menggambarkan kepada kita bahawa penerimaan masyarakat secara membabi buta ini secara halusnya telah menidakkan keupayaan bahasa ibunda sebagai kayu ukur yang menentukan tingginya martabat bangsa. Ditakuti apabila bahasa ibunda dicacamarbakan maka budaya, nilai dan corak pemikiran tidak lagi mampu dicorakkan oleh bangsanya sendiri.
Seringkali juga kita berhadapan dengan situasi tiadanya kesedaran mengutamakan soal hormat dan ketertiban terutamanya dalam kalangan remaja dengan cara mengucapkan salam sapaan tanda hormat sebelum memulakan bicara khususnya dalam situasi tidak formal.
Contoh dialog

X Salmah dan saya tidak mahu menegur satu sama lain.
“Sudahlah Salmah, saya tidak mahu bercakap dengan awak lagi,” saya sengaja menarikkan suara. 
“Saya juga begitu, daripada bercakap dengan awak, baik saya bercakap dengan tembok. Tak sakit hati saya!” Bulat mata Salmah sebesar duit lima puluh sen.

Contoh Dialog 2:

- “Apa nak jadi dengan kau ni Anan? Selagi belum pukul 2, 3 pagi, selagi itulah kau tak ingat nak balik. Dahlah tu, tiap pagi kau balik, mabuk.”


“Kenapa ni? Bising lagi. Anan balik, mak bising. Anan tak balik pun, mak bising. Asyik nak mengamuk saja. Mak ni harimau jadi-jadian ya? Kalau nak mengaum selalu, nanti besok Anan hantar pergi sarkis. Nak?” 


Penekanan terhadap beberapa aspek seperti apa yang sebaiknya dikatakan pada waktu dan dalam keadaan tertentu, penggunaan ragam bahasa yang bersesuaian dengan situasi, mengambil kira bagaimana dan bila kita harus menunggu giliran untuk bercakap atau mencelah, mengetahui kenyaringan suara yang sesuai digunakan ketika berbicara, mengetahui bagaimana sikap dan gerak geri badan yang bersesuaian ketika berbicara dan akhir sekali ialah bila masanya kita harus diam dan mengakhiri sesuatu perbicaraan juga menjadi komponen yang tidak kurang pentingnya dalam objektif kita mewujudkan gaya hidup yang sempurna dan penuh dengan nilai kesantunan agar keperibadian bangsa yang luhur, dihormati dan disegani dapat dikekalkan.

Monday, 2 April 2012

UNGKAPAN MELAYU




SITUASI 21
Sememangnya masyarakat Melayu sangat kaya dengan ungkapan dalam kehidupan mereka seharian. Keunggulan ungkapan ini telah memcerminkan masyarakat Melayu yang sangat kreatif dalam melahirkan ungkapan yang menarik dan sedap didengar. Terdapat beberapa ungkapan dalam Bahasa Melayu, antaranya adalah seperti bidalan, pepatah petitih, kata-kata pujangga, Hadis Melayu, perbilangan Melayu, Guridam, Seloka, Tamsil, Peribahasa, Simpulan Bahasa, ibarat, perumpamaan dan sebagainya. Ini adalah merupakan senjata masyarakat Melayu pada zaman dahulu kala. Sebagai generasi pelapis, kita hendaklah menghargai hasil kreatif masyarakat terdahulu terutamanya.

BIDALAN
Bidalan ialah peribasaha yang berfungsi sebagai nasihat seperti perumpaan, bidalan juga mempunyai maksud dua lapis.
Bagaimanapun bdalan tidak didahului oleh kata sendi nama seperti, bagai, laksana dan umpama.
Perbezaan antara bidalan dengan pepatah ialah bidalan lebih kerap diguanakan, mempunyai nilai, ilmu dan pengajaran, sedangkan pepatah lebih ringkas sifatnya dan tidak mempunyai pengajaran.

Contoh bidalan:

Malu berkayuh perahu hanyut, malu bertanya sesat jalan
Jika kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga.
Maksud lapis pertama jelas dan maksud lapis kedua merujuk orang yangs edikit ilmu dan pengalaman supaya tidak mencuba sesuatu yang rumit.
Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.

PERUMPAMAAN

Perumpamaan ialah susunan katakata yang indah, ringkas,dan kemas serta mempunyai maksud yang tersirat.
Biasanya, perumpamaan dimulai dengan kata bagai, ibarat, laksana, seperti, dan umpama.
Contoh perumpamaan dan maksudnya adalah seperti yang berikut.


Perumpamaan
Maksud
Bagai aur dengan tebing
tolong-menolong antara satu dengan yang lain
Bagai bunyi cempedak jatuh
bunyi jatuh yang kuat
Bagai bulan dipagari bintang
kecantikan gadis yang tiada bandingannya
Bagai diiris dengan sembilu
perasaan yang sangat pedih
Bagai duri dalam daging
sesuatu hal yang tidak menyenangkan
Bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing
hanya mementingkan diri sendiri

PEPATAH DAN PERBILANGAN

Pepatah atau perbilangan mempunyai struktur yang hampir sama dengan pepatah dan bidalan melainkan perbilangan disusun berangkap-rangkap seperti ikatan puisi.
Setiap rangkai pepatah terdiri daripada dua baris atau lebih dan disebut satu demi satu seolah-olah orang sedang membuat perbilangan atau perkataan.
Ia berkait rapat dengan adat istiadat, undang-undang atau peraturan masyarakat.

Contoh:
Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat
Hati manusia sama dicecah, hati gajah sama dilapah.
Cubit paha iri, paha kanan sakit juga.
Ditelan mati emak, diluah mati bapak.






SIMPULAN BAHASA

Simpulan bahasa adalah bentuk peribahasa yang paling mudah.
Biasanya simpulan bahasa terdiri daripada dua patah kata yang membawa maksud yang tepat dan padat.
Senarai simpulan bahasa beserta dengan maksudnya adalah seperti yang berikut:

Simpulan Bahasa
Maksudnya
ada angin
berkelakuan luar biasa pada sesuatu ketika
ada hati
mempunyai keinginan yang melebihi kemampuan untuk melakukan atau memiliki sesuatu
air muka
rupa atau wajah seseorang
ajak-ajak ayam
tidak bersungguh-sungguh semasa mempelawa seseorang


GURINDAM


Gurindam adalah satu bentuk Puisi Melayu lama yang terdiri dari dua baris kalimat dengan irama akhir yang sama, yang merupakan satu kesatuan yang utuh. Baris pertama berisikan semacam soal, masalah atau perjanjian dan baris kedua berisikan jawapannya atau akibat dari masalah atau perjanjian pada baris pertama tadi.



Contoh-contoh Gurindam:

Barangsiapa meninggalkan sembahyang, seperti rumah tiada bertiang.
Hendak mengenal orang berbangsa, lihatlah kepada budi dan bahasa.
Pada orang tua jangan derhaka, supaya Allah tidak murka.
Kalau mulut tajam dan kasar, kelak ditimpa bahaya besar.

SELOKA

   
Seloka merupakan bentuk puisi Melayu Klasik, berisikan pepetah maupun perumpamaan yang mengandung senda gurau, sindiran bahkan ejekan. Biasanya ditulis empat baris memakai bentuk pantun atau syair, terkadang dapat juga ditemui seloka yang ditulis lebih dari empat baris. Kata "seloka" diambil dari bahasa Sansekerta, sloka


Contoh Seloka:
Sudah bertemu kasih sayang
Duduk terkurung malam siang
Hingga setapak tiada renggang
Tulang sendi habis berguncang


Tamsil
Tamsil adalah misalan yang berkias serta mengandungi pengajaran dan teladan.
      Contoh: Bawa resmi padi, makin berisi makin menunduk.

 IBARAT
Ibarat mempunyai maksud berlapis, iaitu maksud tersurat berbeza dengan maksud yang tersirat.
Kiasan sering digunakan untuk menyindir.
   Contoh ibarat:
     Lukah Tok Guru sudah mengena
    Ikan sudah termakan kail.

 KIASAN IBARAT
Kiasan ibarat mengunakan bahasa yang indah dan berbunga-bunga.
Terdapat dalam bentuk prosa dan puisi.


      Contoh kias ibarat:
         Segala penat lelahnya sudah membuahkan hasil.

 TAMSIL IBARAT
Tamsil ibarat ialah gabungan bahasa tamsil dan ibarat, terkandung di dalamnya unsur pengajaran.


      Contoh: Sesiapa berusaha memanjat pokok rajin dan melelai dahannya sudah pasti ia ke pucuk kemuliaan dan mengecap buah kesenangan.

 Cerita Ibarat atau Cerita Kiasan.
Memberikan pengajaran, teladan, dan panduan hidup kepada manusia.


       Contoh Cerita Sang Kancil, Burung Bayan Budiman dan sebagainya.


KATA PUJANGGA



Kata Hikmat merupakan hasil pemikiran bijak pandai dan tokoh-tokoh tersohor, dan biasanya mengandungi pengertian yang mendalam.

Di peringkat pendidikan, ia berguna untuk menjadi sandaran hujah dalam pertuturan dan penulisan.




Jelaslah, menunjukkan bahawa masyarakat Melayu sangat kaya dengan ungkapan-ungkapa yang menarik dan sangat puitis dalam penghasilan setiap kata-kata tersebut. Penggunaannya bukan sahaja memberi nasihat, teguran, motivasi dan sebagainya kepada masyarakat lain malah menjadi khazanah Melayu yang "tak lapuk dek hujan tak lekang Dek panas.. warisan Zaman berzaman..."

Friday, 30 March 2012

BAHASA CERMINAN BANGSA


SITUASI 20
 Alhamdulillah, bersyukur padaMu Tuhan. Kali ini ingin saya kongsikan dengan pembaca kalian. Fokus pada kali ini adalah mengenai bahasa Melayu yang menjadi cerminan bangsa.
BAHASA ialah penyatuan sistem lambang-lambang bunyi yang digunakan sebagai wahana perhubungan untuk menyatakan fikiran, perasaan dan tujuan dalam lingkungan kelompok manusia. Daripada perkataan bahasa dapat diterbitkan beberapa banyak ungkapan tertentu. Ungkapan-ungkapan ini mengandungi pengertian khusus bagi menyatakan sesuatu pula.

Dalam masyarakat Melayu, jika kita berbudi bahasa, sopan dan tahu akan adat resam dikatakan kita berbahasa, yakni tahu menggunakan bahasa yang sesuai pada tempat, suasana, dan konteks. Kita seharusnya tahu memilih bentuk bahasa yang padan apabila berbicara dengan seseorang. Jika berkomunikasi dengan anggota golongan raja, sultan atau kerabat utama raja, walhal kita sebagai pembicara orang biasa, sudah tentu bentuk bahasa dalam yang kita gunakan. Bahasa dalam ialah bahasa halus yang digunakan di istana. Kata-kata seperti patik (saya), tuanku (awak), junjung kasih (terima kasih), santap (makan), gering (sakit), mencemar duli (berangkat), dan sebagainya digunakan sebagai wahana bicara.

Sebaliknya, apabila kita bercakap dengan orang biasa tetapi dewasa, matang usianya, atau terhormat kerana pangkat kedudukan serta tinggi tahap sosialnya, sudah tentu kita akan memilih penggunaan bahasa halus. Kata-kata dalam bahasa halus lembut tidak dirasakan kasar atau yang boleh menyentuh perasaan. Dengan bahasa ini, misalnya, kita mengelakkan penggunaan kata ganti nama aku dan engkau bagi menurujuk diri sendiri dan orang yang dilawan bercakap. Kita sudah tentu menggunakan saya, tuan, Tan Sri, dan seumpamanya. Kita juga berasa janggal menggunakan perkataan mati untuk manusia, tetapi menggantikannya dengan perkataan mangkat (raja), meninggal dunia, atau dengan kiasan sudah pergi atau sudah tiada lagi (orang biasa). Demikianlah betapa perlunya kebijaksanaan kita memilih perkataan yang amat serasi.

Bercakap dengan orang yang dihormati ini tidak molek, kiranya, kita menggunakan bahasa harian sepenuhnya, kerana bentuk bahasa basahan ini mengandungi perkataan dan ayat yang tidak mematuhi rumus tatabahasa baku. Lenggok bahasanya ringkas serta mudah. Ada perkataan tanpa imbuhan, tanpa gandaan, ayat tergantung tanpa subjek, predikat yang tidak sempurna, serta direncahi dengan bahasa daerah/bahasa dialek, yang hanya sesuai digunakan apabila bercakap dengan anggota keluarga atau rakan dalam suasana tidak rasmi. Penggunaan bentuk bahasa basahan ini dapat mewujudkan komunikasi natural, dan hubungan yang intim. Tetapi, apabila bercakap dengan rakan sejawatan atau sejabatan, kita merojakkan bahasa kita (bahasa rojak). Pada suatu ketika kita menggunakan perkataan bahasa Melayu dan seketika yang lain kita menggunakan perkataan bahasa Inggeris/bahasa Arab tanpa menghitung keluhuran tatabahasa.

Akan ada perbezaan pula bahasa yang kita gunakan apabila lawan bicara kita daripada kalangan bangsa asing (orang Cina, India atau Benggali). Atas dasar untuk tujuan pemahaman maksud yang mudah lagi pantas, kesenangan dan kelancaran komunikasi, maka bahasa pasar menjadi wahana. Apabila bahasa kacukan (bahasa pasar) menjadi bahasa perantaraan, sudah pasti bahasanya menyimpang jauh daripada bentuk bahasa baku kerana yang diutamakan ialah pemahaman inti pati bicara dan kelancaran berbahasa.
Bagi kalangan penutur yang rendah martabat sosialnya, bentuk bahasa slanga, yakni salah satu bentuk bahasa terhad menjadi bahasa bicara. Bahasa slanga yang mendapat perhatian sedikit pada masa lampau ialah slanga kutu, yakni bentuk slanga bagi kalangan mereka yang terlibat dalam penyalahgunaan narkotik. Bahasa ini mengandungi perkataan-perkataan baharu atau perkataan biasa dengan pengertian tertentu. Langgam bahasanya banyak dipengaruhi oleh perkataan atau struktur bahasa asing, khususnya bahasa pasar.

Antara bentuk bahasa slanga ini:

“Itu lu punya pasal. Lu tangkap kawin ke, cintan-cintun ke itu lu punya hal.
Gua tak peduli. Lu nak bikin apa sama gua? Lu mahu sekeh kepala gua? Pigila.”

Lain pula halnya ketika kita berada dalam suasana atau keadaan yang tidak terkawal oleh emosi. Ketika itu, perasaan masa bercakap menjadi penentu bentuk bahasa yang kita pilih. Ghalibnya, dalam keadaan marah, kita hilang pertimbangan dalam berbahasa. Kita menjadi orang yang kurang bahasa atau tak tahu bahasa lalu kita menggunakan bahasa kasar, bahasa yang dianggap tidak sopan atau tidak manis dituturkan. Kekadang, apabila rasa amarah memuncak, kita menggunakan bahasa kesat, bahasa yang lebih rendah tarafnya daripada bahasa kasar. Bentuk bahasa ini mengandungi kata maki hamun yang boleh menyakitkan hati orang lain. Natijahnya, kita akan dianggap orang yang tidak berbahasa lantaran berbicara tanpa budi bahasa. Anggapan ini cocok untuk orang yang seperti itu, kerana bahasa menunjukkan bangsa, dan bahasa jiwa bangsa pembicara.


Thursday, 29 March 2012

KANAK-KANAK MEMPUNYAI BAHASA TERSENDIRI




SITUASI 19
Alhamdulillah, bersyukur kehadrat ilahi kerana telah panjangkan usia  kita untuk terus bernafas di bumiNya ini dan dapat saya menaip lagi mengenai bahasa.

Bahasa adalah sistem komunikasi perkataan dan tatabahasa. Melalui bahasa ini, kanak-kanak dapat berhubung dengan orang di sekitar mereka bagi menyatakan perasaan, keperluan dan idea.

Perkembangan bahasa adalah gambaran sejauh mana interaksi berlaku. Ia membantu mempercepatkan literasi iaitu keupayaan menulis dan membaca. Sebelum kanak-kanak menggunakan perkataan, mereka hanya tahu merengek dan menangis, ‘babbling’ (ma-ma-ma, ta-ta-ta) dan ‘cooing’ (menjerit, menggelobok dan membunyikan perkataan) seterusnya meniru gelagat dan apa sahaja yang mereka dengar. Mereka juga berupaya mengenal pasti bunyi dan suara orang dewasa dengan cepat.

Menangis bagi bayi yang baru lahir adalah komunikasi. Nada, corak dan penguatan (intensity) ke atas bunyi suara menyatakan ada maksud tertentu seperti lapar, tidak cukup tidur, marah atau merajuk.

Pada usia bayi enam minggu sehingga tiga bulan, mereka mula mendekut (cooing) apabila rasa seronok. Mereka juga suka bermain dengan bunyi-bunyi perkataan yang didengari dari persekitaran.

Mengagah (babbling) pula berlaku di antara enam bulan hingga sepuluh bulan. Ia bukannya bahasa sebenar dan tidak ada makna. Penerimaan ke atas bunyi-bunyi bahasa berterusan dilakukan oleh bayi yang berumur 9 bulan hingga 10 tahun namun belum memahami sepenuhnya perkataan-perkataan tersebut.

Keupayaan membezakan bunyi-bunyian sangat penting untuk perkembangan bahasa. Ia bermula sebelum kelahiran dan sangat kritikal ketika tahun pertama kehidupan. Bayi dapat membiasakan diri dengan perkataan apabila mereka kerap mendengar dan mula menggunakannya.
Contoh  pemerolehan bahasa Kanak-kanak adalah seperti berikut:
Contoh
Ayah                : Apa ni? (Ini apa?)


Kanak-kanak  : Bah (Bas)

Ayah                : Ni? (Ini?)

Kanak-kanak  : Apa bah? Oyi. (Apa abah? Lori)

Ayah                : Ni? (Ini?)

Kanak-kanak  : Ayon. (payung)

Ayah                : Ni? (Ini?)

Kanak-kanak  : Acuk (kasut)

Ayah                : Ni? (Ini?)

Kanak-kanak  : Abah, ato (Abah, kereta)

Ayah                : Hmm. Ni? (Ini?)

Kanak-kanak  : Ato. (Kereta)

Ayah                :  Ni? (Ini?)
Kanak-kanak  : Pek (Speck = kacamata)
Oleh itu, setiap kanak-kanak akan memperolehi bahasa apabila dia mendengar pertuturan orang di sekelilingnya dan cuba mengajuk perbualan orang  lain. Keadaan ini, walaupun dari segi fonologinya tidak berapa jelas tetapi apabila dibiasakan akan menjadi lebih baik pertuturannya. 



Wednesday, 28 March 2012

AKU , OPAH DAN BAHASA


SITUASI 18
Alhamdulillah, segala puji bagi tuhan Semesta Alam. Hari ini akan saya ingin berkongsi sedikit kisah bahasa antara saya dengan insan yang berhati Mulia.  Situasi ini berlaku di Pekan Bidor atau lebih tepat lagi dalam pasar Pekan Bidor, Perak. Di sini, ingin saya sampaikan adalah perbezaan dialek dalam kalangan masyarakat masih dapat berkomunikasi dengan baiknya. Ini menunjukkan bahawa, walaupun kita berbeza dari segi dialek tetapi maklumat dan perkara yang ingin dituturkan masih dapat difahami antara satu sama lain. Kisahnya bermula apabila saya dan rakan mengikut seorang nenek atau saya memanggilnya dengan gelaran "Opah" dan menemaninya ke pasar untuk membeli sayur-sayuran dan sebagainya. Sudah sedia maklum, bahawa di Pekan tersebut majoriti penduduknya adalah terdiri daripada kaum India dan Cina. Penjualnya terdiri daripada kaum India dan selebihnya Melayu dan Cina. Sementara itu, walaupun berbeza tempat dan sebutan atau gelaran bagi seseorang tetapi individu tersebut adalah orang yang sama. 
Misalnya di Kelantan, kebanyakkan masyarakatnya memanggil datuk atau nenek dengan gelaran    ''Tok",  Tok Wan" ''Mek'' bagi nenek, '' Chik" bagi datuk. Di sini, gelaran yang lebih mesra adalah "Opah" yang merujuk kepada orang yang berusia atau warga emas.  Gelaran tersebut menjadi kebiasaan bagi masyaakat di situ dan semua yang mengenali nenek angkat saya memanggilnya dengan gelaran 'Opah' tidak kira sama ada orang tersebut mempunyai perhubungan kekeluargaan atau tidak. 

Tuesday, 27 March 2012

BAHASA PASAR





SITUASI 17
Bahasa pasar ialah bahasa yang menggunakan struktur ayat Melayu tetapi perkataan campuran dengan perkataan bahasa pinjaman. Yang paling ketara ialah bahasa pasar menggunakan kata ganti nama asing, iaitu I, you, we all, you all, they all, gua, lu, gua semua, lu semua, dia orang, semua orang, lu orang, kita orang, aya, ane, bai, dan lain-lain. Bahasa pasar adalah bahasa orang tidak terpelajar. Atau, digunakan oleh orang terpelajar kepada orang tidak terpelajar. Ini bukan bahasa rapi dan bahasa rasmi. Ini bahasa rendah, layak digunakan dalam perhubungan dengan rakan-rakan di luar majlis rasmi, di pasar, di dapur, di perhentian bas, dll. Dalam rancangan rasmi melalui televisyen ke seluruh negara, bahasa pasar tidak wajar digunakan. Menggunakan bahasa pasar ini sangat merendahkan taraf orang yang dilawan bercakap. Tatabahasa sosial yang dilanggar ialah:
1. Budaya Melayu memerlukan bahasa yang rapi digunakan dalam suasana rasmi. Bahasa pasar ini tidak ada tempat dalam majlis rasmi.
2. Menggunakan ganti nama bahasa pasar kepada orang datang daripada budaya rendah. Budaya tinggi menuntut bahasa yang rapi.
3. Dengan mengeyou-youkan penonton, pengacara menurunkan semua orang ke taraf mat dan minah rock sahaja.
4. Televisyen adalah saluran rasmi. Bahasa pasar dan bahasa campur-aduk tidak ada tempat dalam saluran rasmi.
5. Tidak menggunakan neka bahasa baku. Dalam suasana rasmi, perkataan dan sebutan pun mesti rasmi, iaitu bahasa baku.
6. Bahasa pasar tidak ada kehalusannya, peri laku penutur bahasa pasar juga akan menjadi kasar dan sumbang. Apabila kita menggunakan bahasa berbudaya tinggi, kita tidak tergamak berkelakuan kasar dengan pelanggan.Apabila pelayan menggunakan ganti nama you kepada pelanggan, pelanggan merasa tidak dihormati. Malah dia merasakan dia disamakan dengan pelayan remaja yang menyebut dirinya I.

 Pada pihak pelayan pula, apabila dia menggunakan kata ganti nama you kepada semua pelanggan, dia merasakan dia sama taraf dengan pelanggan. Oleh itu dia telah berlagak bahawa dia wajar menjawab kata-kata pelanggan. Pelanggan adalah penting. Tanpa pelanggan perniagaan kita tidak ada. Oleh sebab itu pelanggan adalah bertaraf lebih tinggi daripada pelayan. Kita tidak boleh merendahkan mereka dengan mengeyou-youkan mereka. Elakkan perbalahan dengan pelanggan. Ini akan dapat kita buat dengan memanggil mereka Encik, Tuan, Puan, Cik dan Cik Puan. Gugurkan sama sekali ganti nama you dan I.Apabila kita mahu menggunkan bahasa tinggi buanglah ganti nama pinjanan. Gunakan ganti nama hormat, iaitu: Tuan, Puan, Encik, Cik, para penonton, para pendengar, para peminat, barulah perilaku penutur juga turut berubah.

Monday, 26 March 2012

PERBANDINGAN DIALEK KELANTAN DENGAN KEDAH


SITUASI 16



Fonetik dan fonologi merupakan bidang yang salin melengkapi. Fonetik merupakan kajian tentang bunyi bahasa manakala fonologi sebagai kajian tentang sistem bunyi bahasa. Fonetik membincangkan deskripsi yang dilakukan dalam menghasilkan bunyi ini dengan menggunakan organ sebutan. Sementara itu, ada sarjana lain menganggap fonologi itu sebagai perkara yang pada asasnya adalah fonetik. Cuma fonologi memerlukan konsep, istilah, dan notasi fonetik sebagai unsur tambahan. Bunyi-bunyi bahasa yang terdiri daripada struktur fonik sesuatu bahasa itu dikatakan fonologi.

Selain itu juga, menurut pendapat Edward Sapir pula, dialek itu dikenali sebagai bentuk percakapan tempatan yang berbeza dengan pendapat dengan bentuk bahasa kesusasteraan. Maka, di sini bolehlah dirumuskan bahawa dialek merupakan satu bentuk percakapan yang berupa tempatan yang terhad kepada kawasan-kawasan tertentu sahaja.

Dalam satu-satu komuniti bahasa tertentu, terdapat dua jenis dialek iaitu dialek sosial dan dialek tempatan. Begitu juga dengan dialek Kelantan dan dialek Terengganu. Melihat dalam aspek dialek di Kelantan, terdapat sekurang-kurangnya dua dialek sosial iaitu dialek istana dan dialek orang awam. Dalam dialek Kelantan tidak terdapat perbezaan yang jelas dari segi percakapan. Jikalau wujud perbezaan itu, mungkin dalam cara-cara penyebutan bunyi-bunyi vokal iaitu perbezaan dari segi pembundaran penyebutan vokal antara penduduk desa dengan penduduk bandar.

Dialek sosial ini wujud di mana-mana sahaja asalkan terdapat perbezaan dari segi kedudukan atau status dalam satu-satu komuniti bahasa dan juga taburan penduduk penutur dalam satu kawasan yang luas. Banyak kajian yang dijalankan bagi menunjukkan bahawa kepelbagaian dialek disebabkan oleh faktor keadaan sosial, iaitu merupakan faktor terpenting dalam pengwujudan bentuk yang berbeza.

Mengikut Profesor Ismail Hussein, dialek Kelantan, Terengganu, Pedalaman Kedah dan Pedalaman Perak Utara, adalah termasuk dalam golongan pertama. Sementara dialek Johor, Melaka, Selangor dan Selatan Perak termasuk dalam golongan kedua. Di antara dialek-dialek ini, dialek Kelantan merupakan dialek yang agak sukar difahami oleh penutur dialek lain kerana dialek Kelantan mempunyai banyak perbezaan jika dibandingkan dengan dialek-dialek lain.

Dialek Kelantan lebih erat pertaliannya dengan bahasa Melayu Patani, walaupun banyak perbezaan ciri-ciri fonetik antara bahasa Melayu Patani dengan dialek, dan perpisahan negeri Kelantan dengan wilayah utaranya bukanlah secara linguistik. Perbezaan dialek mungkin disebabkan oleh tingkat sosial yang tidak sama peringkat umur yang berbeza atau pekerjaan yang berlainan.


  Perbezaan dari fonologi sebutan antara dialek Kelantan dengan dialek Kedah.

BAHASA MELAYU  BAKU
DIALEK KELANTAN
DIALEK KEDAH
Petai
p ǝ.ta
pǝ.taj
Kain
ka.en
ka.en
pulau
pu.law
pu.law
 Saoh
Sa.oh
Sa.oh
Tiap
Ti.jaɁ
ti.jap
Biasa
bԑ.sɔ
bԑ.sa



  
Di samping itu, mungkin ramai yang tidak tahu tapi orang kelantan tidak menggunakan matawang RM atau ringgit malaysia. Mereka mempunyai matawang mereka sendiri iaitu Riyal atau sebutan nya lebih berbunyi 'ghiya'. Walaupun 'ghiya' kelantan tidak diniagakan di pasaran antarabangsa dan exchange rate antara 'ghiya' dan RM adalah sama, malah wang yang digunakan adalah sama. Tetapi Ringgit adalah lebih kecil sekiranya digunakan di kelantan. Contoh:

Situasi seseorang menggunakan Ringgit di pasar Siti Khadijah Kota Bharu:

"Makcik, sayur ni berapa ringgit selonggok?"
"oohh, sayur kakung nih 2 Ringgik selonggok"

Situasi yang sama, tetapi menggunakan 'ghiya'

"Mokcik, sayur kakung nih brapo ghiya slonggok ..?"
"slonggok tigo amah*, kalu nok ambik duo longgok, 2
ghiya"

Perhatikan harga selonggok kangkung meningkat 50 sen dari harga dalam 'ghiya', malah dijualnya pulak dengan harga 2 longgok 2 'ghiya' (atau 2 ringgit)