Biarpun setiap
lagu mempunyai mesej dan rentaknya yang tersendiri namun penggunaan bahasa yang
betul dalam lirik lagu tidak harus diketepikan. Ketiga-tiga unsur dalam
sesebuah lagu iaitu seni kata, muzik, dan vokal yang serasi akan
menentukan mutu nyanyian dan menjadikan lagu itu dapat bertahan lama di persada
seni tanah air. Kecenderungan pengubah lagu tempatan menghasilkan
lagu berentak asli, ghazal atau zapin, mendorong penulis lirik lagu
menghasilkan bait-bait lirik yang mempunyai unsur-unsur seni dengan bahasa yang
indah.
mendendam unggas liar di hutan,
Kehalusan
lirik lagu Cindai cukup indah dan mempunyai maksud tersirat. Maka
tidak hairanlah Cindai berjaya memenangi Juara Lagu 1998 baru-baru ini.
Peminat dan pendengar tempatan kini sudah peka dan lebih menghayati kata-kata
dalam setiap lagu yang diperdengarkan. Tidak salah jika kita katakan
bahawa lagu yang popular biasanya mempunyai kekuatan pada liriknya yang
mengandungi kehalusan kata-kata.
Cuba kita halusi lirik lagi Cindai nyanyian Siti Nurhaliza yang antara lain berbunyi seperti yang berikut: Jalinnya lalu rentah beribu
Bagailah mana hendak berhias
Cerminku retak seribu
Mendendam unggas liar di hutan
Jalan yang tinggal jangan berliku
Tilamku emas cadarnya intan
Berbantal lengan tidurku
Hias cempaka kenanga tepian
Mekarnya kuntum nak idam kumbang
Puas ku jaga si bunga impian
Gugurnya sebelum berkembang
Hendaklah hendak hendak ku rasa
Puncaknya gunung hendak ditawan
Tidaklah tidak tidak ku daya
Tingginya tidak terlawan
Janganlah jangan jangan ku hiba
Derita hati jangan dikenang
Bukanlah bukan bukan ku pinta
Merajuk bukan berpanjangan
Akar beringin tidak berbatas
Cuma bersilang paut di tepi
Bidukku lilin layarnya kertas
Seberang laut berapi
Gurindam lagu bergema takbir
Tiung bernyanyi pohonan jati
Bertanam tebu di pinggir bibir
Rebung berduri di hati
Laman memutih pawana menerpa
Langit membiru awan bertali
Bukan dirintih pada siapa
Menunggu sinarkan kembali
Lagu bukan sahaja
bertujuan untuk menghiburkan semata-mata, malah dapat membentuk keindahan
rohani dan jasmani juga. Unsur dakwah dan nasihat mampu disampaikan
dengan menggunakan bahasa yang baik, sopan, dan indah agar dapat menyentuh hati
pendengar. Dalam hal ini, kita dapat melihat bahawa sesungguhnya
bahasa yang baik dan pemilihan kata yang tepat dalam sesebuah lagu, mampu
membantu lagu tersebut agar diminati pendengar. Penulis lirik
lagu seharusnya tidak hanya mementingkan pulangan material sahaja semasa
mencipta lirik. Ada di kalangan penulis lirik yang malas membuat rujukan
yang menyebabkan lirik ciptaan mereka agak merapu, lari daripada maksud
judul, pemilihan kata yang tidak tepat penggunaannya, dan kadang-kadang
terdapat lirik lagu yang merosakkan keindahan bahasa Melayu itu sendiri. Namun, syabas diucapkan kepada
penulis-penulis lirik yang menggunakan kata-kata yang indah dan dalam masa yang
sama mengambil kira faktor ketepatan pemilihan kata dalam lagu-lagu mereka.
Kata-kata indah yang disulam dengan rentak tradisional dan moden inilah yang
selayaknya menceriakan dan mewarnai persada seni tanah air, di samping
memperluas penggunaan bahasa Melayu.
No comments:
Post a Comment