Wednesday, 4 April 2012

PENCEMARAN BAHASA


SITUASI 23

Pencemaran bahasa merujuk kepada penggunaan bahasa yang menyimpang daripada norma penggunaan sebenar bahasa tersebut dalam masyarakat penuturnya. Antara ciri pencemaran bahasa adalah pengutamaan bahasa asing, tidak menggunakan bahasa yang tidak menepati tatabahasa dan juga laras bahasa. Pencemaran bahasa menyebabkan bahasa yang digunakan menjadi tidak standard. Penggunaan tatabahasa dalam sesuatu bahasa sememangnya amat penting agar jati diri bahasa tersebut dapat dipelihara, misalnya penggunaan Bahasa Melayu yang kini banyak mengalami fenomena pencemaran bahasa akibat pelbagai faktor luaran seperti bahasa rojak, bahasa slanga, bahasa asing dan bahasa pijin

Punca-punca Pencemaran Bahasa



Terdapat beberapa punca yang menyebabkan berlakunya pencemaran bahasa ini. Antaranya ialah masalah globalisasi. Menurut Kamus Dewan, globalisasi didefinisikan sebagai fenomena yang menjadikan dunia kelihatan mengecil daripada segi perhubungan manusia disebabkan kepantasan perkembangan teknologi maklumat. Era globalisasi ini mula berkembang di seluruh pelosok dunia. Perkembangan ini membawa banyak kesan positif walaupun kesan negatif yang diperoleh melalui perkembangan ini tidak dapat dinafikan.

Bahasa Melayu juga tidak ketinggalan dalam menerima kesan negatif akibat daripada perkembangan globalisasi ini. Hal ini kerana perkembangan ini membawa kepada penggunaan telefon bimbit secara berleluasa dan ini membawa kepada penghantaran sistem pesanan ringkas (SMS), alat yang menjadi penghubung antara dua individu dengan kaedah cepat dan menjimatkan, sebenarnya mencemarkan bahasa. Penggunaan simbol, kod dan perkataan singkatan sering berlaku dalam SMS. Tujuaan penggunaan singkatan perkataan, lambang, angka atau kod tertentu adalah untuk menggantikan maksud sebenar. Hal ini berlaku disebabkan ruang yang disediakan cukup terhad. Kadang-kala ayat yang ditulis bercampur aduk antara Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, bergantung kepada perkataan mana lebih pendek supaya maksud yang hendak disampaikan difahami oleh penerimanya dalam ruang terhad itu, contohnya “Nxt week blk umah tak?” 


Bahasa SMS ini terbawa-bawa kepada penggunaan rasmi seperti karangan, surat rasmi dan memo hingga menyebabkan pencemaran bahasa.Di samping itu, budaya asing yang meresap masuk ke negara kita juga merupakan salah satu punca pencemaran bahasa ini berlaku. Hal ini dapat dikaitkan dengan budaya hip-hop yang semakin popular dalam kalangan remaja di Malaysia. Budaya hip-hop ini merupakan muzik jalanan yang muncul di New York, Amerika pada tahun 70-an. Muzik ini popular di Malaysia dengan kemunculan kumpulan-kumpulan muzik seperti Too Phat, The Rebel Scum dan sebagainya. Kemunculan muzik ini membawa kepada pencemaran bahasa kerana penciptaan lirik lagu menggunakan bahasa pasar. Hal ini dapat disokong dengan kenyataan ketua kumpulan The Rebel Scum yang mengatakan bahawa, “Pada kami, perumpamaan dan istilah bahasa pasar lebih senang untuk ditulis dan yang mendengar memahami mesej yang nak disampaikan.” 

Perbuatan ini membawa kepada pencemaran bahasa kerana para pendengar lagu hip-hop ini akan terbawa-bawa gaya tersebut dalam percakapan seharian seperti “Yo,yo,yo, buat pe bro” walaupun gaya ini dianggap sebagai ‘bahasa seni’ dalam genre hip-hop.Sektor pendidikan juga merupakan penyebab kepada pencemaran bahasa ini. Keadaan ini berlaku berikutan Kementerian Pelajaran Malaysia yang menyarankan bahawa unsur-unsur tatabahasa mestilah diajarkan secara tidak formal. Penguasaan tatabahasa dalam kalangan pelajar menjurus ke arah penggunaan ayat yang tercemar bahasanya dari segi tatabahasa, misalnya “Saya berasal daripada Negeri Sembilan.” Ayat ini tercemar dari segi penggunaan tatabahasa kerana sepatutnya kata sendi ‘dari’ yang harus digunakan dalam ayat tersebut untuk menunjukkan tempat. Mohd Zaki bin Zakaria (2001) dalam kajiannya mendapati ada sebilangan guru yang langsung tidak mengajar tatabahasa dalam pengajaran berikutan saranan kementerian tersebut. Hal ini merupakan salah satu punca berlakunya pencemaran bahasa dalam kalangan masyarakat Malaysia pada masa ini kerana perkara yang diajarkan di sekolah akan dijadikan ikutan sepanjang hidup dan sukar diubah seperti “ikat boleh diubah, takuk bagaimana mengubahnya?”Seterusnya, buku yang berbeza huraian atau pegangan juga mengakibatkan pencemaran Bahasa Melayu. Perkara ini disebabkan perbezaan pendapat tokoh itu sendiri. Di negara kita ini, ada pelbagai buku, baik buku tatabahasa mahupun buku teks Bahasa Melayu, yang digunakan di sekolah. Bagi pengguna bahasa yang mendalami bidang Bahasa Melayu di institusi pengajian tinggi, mereka pernah didedahkan kepada buku tatabahasa yang ditulis Za'ba, Asmah Omar dan lain-lain. Pelajar sekolah pula didedahkan kepada aspek tatabahasa berdasarkan buku tatabahasa pegangan, iaitu Tatabahasa Dewan. Hal ini mengakibatkan kekeliruan kerana ketidakseragaman huraian daripada segi ejaan, golongan kata dan tatabahasa.

Penggunaan dialek ini menjadi punca pencemaran Bahasa Melayu kerana guru-guru mengambil jalan mudah dan cenderung menggunakan bahasa dialek atau daerah sebagai bahasa penghantar dengan alasan pelajar lebih mudah memahami sesuatu yang disampaikan oleh guru dan suasana pengajaran akan bersifat menghiburkan serta mudah menimbulkan situasi kemesraan antara guru dan pelajar. Namun, tanpa disedari sikap ambil mudah ini akan melahirkan para pelajar yang lemah dalam penguasaan bahasa. Para pelajar itulah juga yang kemudian akan menjadi manusia yang akan memegang jawatan yang penting dan berpengaruh seperti pentadbir, penulis editor, pemimpin politik dan sebagainya. 


No comments:

Post a Comment