Bahasa ibunda antaranya adalah
istilah yang merujuk kepada bahasa leluhur sesuatu kelompok etnik. Sama ada ia
bahasa besar atau sebaliknya, bahasa ibunda penting dalam kehidupan sesuatu
kelompok itu, khususnya dalam konteks budaya diamalkan. Dalam konteks ini, ia
adalah salah satu daripada beberapa kaedah utama, yang membolehkan kelompok
berkenaan menyebar serta mewariskan budayanya kepada generasi muda.
Sehubungan ini, dialek Melayu
Kelantan adalah penanda identifikasi kepada budaya kelompok Melayu di Kelantan.
Identifikasi ini antaranya boleh wujud dalam kata, makna, idiom dan nahu dialek
Melayu itu, serta amalan bahasa dipraktikkan oleh Orang Melayu Kelantan.
Cara menyebar dan mewariskan
budaya melalui bahasa, boleh mengambil pelbagai bentuk. Antaranya termasuk
lagu, puisi, cerita, dan seni. Penyebar dan pewarisnya pula boleh terdiri
daripada orang perseorangan, kumpulan, pertubuhan kebudayaan dan kesenian, dan
institusi rasmi, seperti yayasan. Dalam hal ini, bahasa ibunda sebenarnya
adalah wahana penting, untuk memastikan elemen budaya, seperti sejarah, sistem
nilai, kepercayaan dan sosial, terus tersebar dan diwarisi.
Untuk Malaysia, dalam menyambut
Hari Ibunda Sedunia ini, kita boleh antaranya meraikan kepelbagaian bahasa
ibunda dan budaya kaum yang ada dalam negara ini. Sambutan sebegini sudah tentu
dapat mempromosikan peranan dan kepentingan bahasa dalam pembangunan dan
kewujudan budaya mapan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang etnik.
Pendekatan begini juga bertepatan dengan keadaan sosiobudaya yang pelbagai di
negara ini.
Apabila berbicara mengenai budaya
mapan, dan dalam kes Malaysia sebagai pelbagai budaya yang terus mantap dan
kekal, selain tidak akan pupus, dalam konteks peranan bahasa untuk menjamin
pelestariannya, kita sebetulnya perlu memastikan bahasa ibunda kita, terus
dituturkan, khususnya oleh generasi muda.
Sehubungan ini, ramai antara kita
selalu beranggapan bahawa bahasa ibunda kita, sama ada dialek Melayu Kelantan,
bahasa Cina suku Hokkien, ataupun bahasa Orang Asli Semai, tidak mempunyai
banyak nilai, jika dibandingkan dengan bahasa besar, seperti bahasa Melayu
Standard, bahasa Mandarin, dan bahasa antarabangsa seperti bahasa Inggeris.
Justeru, ramai ibu bapa tidak lagi mewariskan bahasa leluhur kepada anak
mereka.
Sesungguhnya pandangan begini
adalah salah sama sekali. Ia antaranya dilihat dari segi peranan bahasa Cina
suku Hokkien misalnya, yang didapati tidak mempunyai banyak sumbangan terhadap
kehidupan dunia moden, khususnya dalam memperoleh ganjaran kebendaan.
Dalam konteks bahasa leluhur,
kehilangan walaupun satu daripadanya di muka bumi ini, misalnya bahasa Temuan
dalam kalangan Orang Asli, bukan saja menjadi musibah kepada komuniti bahasa
berkenaan. Tetapi ia adalah juga kerugian besar kepada kita di Malaysia
khasnya, selaku rakyat Malaysia, dan juga kepada dunia amnya, yakni kita semua
sebagai umat dunia.
Hubung kait antara bahasa dan
cara hidup harian inilah yang menjadi satu ciri kehidupan yang akan hilang
apabila bahasa hilang. Apabila ini berlaku, komuniti bahasa berkenaan akan
menjadi kelompok yang kehilangan arah bahasa. Ini antaranya bermakna mereka
tidak lagi mengetahui kata yang sepatutnya digunakan, untuk mengungkapkan
sesuatu yang ingin dan perlu diperkata.
Dengan kata lain, bahasa lain
yang dikuasai untuk menggantikan bahasa ibunda yang hilang itu, akan menjadikan
komuniti bahasa berkenaan satu kelompok yang tidak mempunyai hala tuju, dari
segi identiti kebahasaan, untuk seketika waktu. Apabila dan selepas bahasa lain
dipelajari dan dikuasai, budaya asal komuniti berkenaan akan berubah. Ia tidak
lagi diamal dalam bentuk dan cara asalnya.
Sebenarnya kata dan istilah
baharu itu hanya pandangan yang hampir saja, justeru tidak pun tepat maksudnya.
Makna tepat serta pengertian sepunya, tidak akan dikongsi dan difahami
bersama-sama lagi oleh seluruh komuniti berkenaan, seperti yang berlaku pada kata
dan istilah lama dalam bahasa ibunda yang hilang itu.
Satu masa yang agak lama
diperlukan bagi komuniti berkenaan, untuk berkongsi dan memahami kata dan
istilah baharu itu, secara bersama-sama sebagai satu komuniti bahasa. Walaupun,
pada akhirnya ia dapat dilakukan selepas mengambil beberapa waktu, budaya asal
itu tidak terungkap lagi, yakni tidak mampu dinyatakan lagi dalam bahasa lain,
dengan menggunakan konteks bahasa lama.
No comments:
Post a Comment