Bahasa Melayu Bahasa Kita
SITUASI 2
Alhamdulillah....bertemu kembali dalam laman sesawang ini. Bersua kita dalam pelangi bahasa saya.
Bagaimana kita manfaatkan hari ini, hari yang sentiasa penuh keberkatan dariNya. Perbincangan kita mengenai sosiolinguitik diteruskan lagi. Hari ini merupakan minggu ketiga kuliah semester ini, dan hari saya dan rakan-rakan seperjuangan membuat latihan mengajar. Apa yang hendak saya sampaikan adalah penggunaan bahasa yang digunakan oleh bakal guru ketika latihan mengajar di dalam kelas. Apa yang saya perhatikan kebanyakannya terdapat selingan bahasa dialek, memang tidak dapat dinafikan saya yang berasal dari Kelantan juga kadang-kadang tersasul menggunakan bahasa dialek negeri. Walau bagaimanapun selaku bakal guru terutama Bahasa Melayu hendaklah menggunakan bahasa melayu tinggi dengan betul dalam komunikasi guru dengan pelajar. Penggunaan bahasa rojak, dialek dan bahasa asing perlu dielakkan dengan sebaiknya dalam memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa Kebangsaan negara serta bahasa Melayu sebagai Bahasa Lingua Franca. Hal ini demikian kerana Bahasa Melayu sebagai lingua Franca, sejarah telah membuktikan bahawa Bahasa Melayu sebagai lingua Franca atau bahasa Perantaraan di Daerah kepulauan Melayu sejak zaman-berzaman lagi. Keadaan ini telah dibuktikan dengan apabila seorang pengembara China I-Tsing telah singgah di Sriwijaya pada tahun 672 Masihi. Dalam perjalanannya dari China ke India,beliau menyatakan bahawa bahasa Melayu telah digunakan dengan meluas di Palembang.
Keadaan ini jelas, menunjukkan bahawa Bahasa Melayu sentiasa dihargai tanpa meminggirkan penggunaannya dalam kehidupan seharian. Kembali kepada penggunaan bahasa oleh bakal guru ini, semestinya perlu dielakkan daripada menggunakan bahasa yang rendah. Sebagai contoh penggunaan dialek bahasa yang sering digunakan oleh para bakal guru termasuklah saya sendiri. Namun, keadaan ini mungkin kita terlepas pandang akan penggunaannya. Contoh dialog antara seorang guru dengan pelajarnya.
Cikgu Aminah : Ok. pelajar semua, kat dalam kotak ni ada sesuatu benda. Try korang semua teka ape ada kat dalam kotak ni?Pelajar A: Ermm....pensel cikgu.
Sebagai seorang bakal pendidik, kita selaku pendidik hendaklah menggunakan Bahasa Melayu baku dengan betulnya. Dialog di atas menggambarkan cikgu tersebut tidak menggunakan Bahasa Melayu dengan sebetulnya. Sepatutnya dialog seorang guru yang menggunakan Bahasa Melayu baku seperti berikut.
Cikgu Aminah: Baiklah, pelajar-pelajar semua, di dalam kotak ini ada sesuatu benda. Cuba kamu semua teka benda apakah yang ada dalam kotak tersebut?
Walaupun, kita memandangnya dengan ringan akan penggunaan bahasa sedemikian, namun jika berterusan akan menjadi barah bahasa dan secara tidak langsung akan menjejaskan penggunaan Bahasa Melayu itu sendiri yang menjadi Bahasa Rasmi dan Bahasa Lingua Franca.
No comments:
Post a Comment