Bahasa pasar ialah bahasa yang menggunakan struktur ayat Melayu tetapi perkataan campuran dengan perkataan bahasa pinjaman. Yang paling ketara ialah bahasa pasar menggunakan kata ganti nama asing, iaitu I, you, we all, you all, they all, gua, lu, gua semua, lu semua, dia orang, semua orang, lu orang, kita orang, aya, ane, bai, dan lain-lain. Bahasa pasar adalah bahasa orang tidak terpelajar. Atau, digunakan oleh orang terpelajar kepada orang tidak terpelajar. Ini bukan bahasa rapi dan bahasa rasmi. Ini bahasa rendah, layak digunakan dalam perhubungan dengan rakan-rakan di luar majlis rasmi, di pasar, di dapur, di perhentian bas, dll. Dalam rancangan rasmi melalui televisyen ke seluruh negara, bahasa pasar tidak wajar digunakan. Menggunakan bahasa pasar ini sangat merendahkan taraf orang yang dilawan bercakap. Tatabahasa sosial yang dilanggar ialah:
1. Budaya Melayu memerlukan bahasa yang rapi digunakan dalam suasana rasmi. Bahasa pasar ini tidak ada tempat dalam majlis rasmi.
2. Menggunakan ganti nama bahasa pasar kepada orang datang daripada budaya rendah. Budaya tinggi menuntut bahasa yang rapi.
3. Dengan mengeyou-youkan penonton, pengacara menurunkan semua orang ke taraf mat dan minah rock sahaja.
4. Televisyen adalah saluran rasmi. Bahasa pasar dan bahasa campur-aduk tidak ada tempat dalam saluran rasmi.
5. Tidak menggunakan neka bahasa baku. Dalam suasana rasmi, perkataan dan sebutan pun mesti rasmi, iaitu bahasa baku.
6. Bahasa pasar tidak ada kehalusannya, peri laku penutur bahasa pasar juga akan menjadi kasar dan sumbang. Apabila kita menggunakan bahasa berbudaya tinggi, kita tidak tergamak berkelakuan kasar dengan pelanggan.Apabila pelayan menggunakan ganti nama you kepada pelanggan, pelanggan merasa tidak dihormati. Malah dia merasakan dia disamakan dengan pelayan remaja yang menyebut dirinya I.
Pada pihak pelayan pula, apabila dia menggunakan kata ganti nama you kepada semua pelanggan, dia merasakan dia sama taraf dengan pelanggan. Oleh itu dia telah berlagak bahawa dia wajar menjawab kata-kata pelanggan. Pelanggan adalah penting. Tanpa pelanggan perniagaan kita tidak ada. Oleh sebab itu pelanggan adalah bertaraf lebih tinggi daripada pelayan. Kita tidak boleh merendahkan mereka dengan mengeyou-youkan mereka. Elakkan perbalahan dengan pelanggan. Ini akan dapat kita buat dengan memanggil mereka Encik, Tuan, Puan, Cik dan Cik Puan. Gugurkan sama sekali ganti nama you dan I.Apabila kita mahu menggunkan bahasa tinggi buanglah ganti nama pinjanan. Gunakan ganti nama hormat, iaitu: Tuan, Puan, Encik, Cik, para penonton, para pendengar, para peminat, barulah perilaku penutur juga turut berubah.
No comments:
Post a Comment